Isu royalti muzik: M. Nasir saran rundingan, bukan pertelingkahan

KOMPOSER dan penerbit tersohor, Datuk M. Nasir berpandangan bahawa rundingan damai adalah pendekatan paling wajar dalam menyelesaikan kemelut antara Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit Muzik Malaysia (3P Muzik Malaysia) serta tiga pengerusi Collective Management Organisation (CMO) yang tular baru-baru ini.

Ketika ditemui pada sidang media Konsert M. Nasir Cipta 3 hari ini, beliau berkata isu berkenaan kini telah dibawa ke peringkat undang-undang, justeru sebarang ulasan lanjut tidak dapat diberikan.

“Benda ini sudah dibawa ke peringkat undang-undang. Rundingan adalah penyelesaian terbaik,” katanya ringkas.

Terdahulu, Presiden 3P Muzik Malaysia, Aris Ariwatan menyuarakan rasa kecewa terhadap sikap tiga badan pengurusan kolektif iaitu 3P Muzik Malaysia serta tiga pengerusi CMO yang didakwa tidak bersetuju dengan Garis Panduan Hak Cipta Organisasi Pengurusan Kolektif 2025 yang digubal oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Tambah Aris, situasi itu menjadi rumit kerana ketiga-tiga pengerusi CMO terbabit merupakan rakan seperjuangan dan ahli persatuan, namun mereka tetap tidak seharusnya menentang secara keterlaluan.

“Sebenarnya nak cakap susah, tak cakap pun susah. Tiga pengerusi CMO itu kawan dan ahli kami juga. Tapi saya harap jangan keterlaluan sampai nampak seperti biadap kepada kerajaan. Arahan bila dikeluarkan, harus dipatuhi,” katanya.

Sidang media berkenaan turut diadakan dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sebagai usaha mencari jalan damai berhubung isu kutipan royalti dan ketidakpatuhan beberapa CMO terhadap garis panduan baharu kerajaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat