PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, semua pihak wajib mematuhi undang-undang berkaitan penggunaan tanah dan pembinaan rumah ibadat tanpa menjadikan isu agama sebagai bahan politik yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
Dalam titah yang dimuat naik di laman rasmi Facebook Baginda pada Rabu, Seri Paduka menekankan bahawa Malaysia dibina atas asas keharmonian dengan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan kepada undang-undang.
“Seri Paduka Baginda, bertitah Malaysia sebuah negara yang dibina atas asas keharmonian dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan kepada undang-undang,” titah Baginda.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan bahawa setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai tersebut demi kepentingan bersama.
Menyentuh isu pembinaan kuil, Baginda bertitah, ia mesti ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja dan tokong.
Baginda juga mengimbas kembali pengalaman pada Januari 2018 apabila bertindak sebagai pendamai dalam isu perobohan sebuah kuil di Johor, yang diselesaikan secara berhemah dan berlandaskan undang-undang.
“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam,” titah Agong.
Titah Baginda turut menekankan prinsip Islam yang menggalakkan sikap saling hormat-menghormati, di mana penganut agama lain bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing, namun dalam masa sama wajar menunjukkan rasa hormat terhadap Islam.
Pendekatan ini penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi, sekali gus memperkukuh perpaduan rakyat berbilang agama dan budaya.
“Oleh demikian, apabila timbul sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami serta menghormati undang-undang negara, di samping menyelesaikan perbezaan menerusi saluran yang sah demi mengekalkan keharmonian, toleransi dan semangat muhibah,” titah Seri Paduka Baginda.
Pada masa sama, Baginda turut berkenan menerima mengadap Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Istana Negara.
Sultan Ibrahim mengingatkan agar semua pihak mengelakkan kenyataan atau tindakan yang boleh menimbulkan salah faham, perpecahan serta menggugat keamanan negara.








