Isu saham Azam Baki: Perlu ikut undang-undang, bukan desakan politik – AMK

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan tuntutan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu diasaskan kepada bukti kukuh dan bukannya dakwaan hearsay atau sangkaan semata-mata.

Ketua AMK, Kamil Munim berkata, prinsip keadilan menuntut agar setiap isu ditangani mengikut lunas undang-undang tanpa dipengaruhi tekanan politik.

“Kebenaran harus ditegakkan berlandaskan undang-undang. Tuntutan RCI tidak wajar dibuat hanya berdasarkan dengar cakap atau persepsi awam semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Kamil, mekanisme sedia ada seperti siasatan, inkuiri atau jawatankuasa khas mempunyai mandat dan keupayaan untuk mengumpul keterangan secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Proses sedia ada perlu dibenarkan berjalan. Mekanisme ini mempunyai kuasa untuk menilai fakta secara terperinci serta membuat penilaian berasaskan bukti,” ujarnya.

Tambahnya, desakan pramatang boleh mewujudkan budaya ‘pre-emptive politics’ yang akhirnya menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

“Kita tidak mahu masyarakat terjebak dalam polemik berpanjangan sehingga mendahului proses sewajarnya.

“Biarlah siasatan dilaksanakan secara telus dan profesional,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Kamil berkata keputusan untuk mengadakan inkuiri dibuat sehari selepas laporan Bloomberg diterbitkan, sekali gus mencerminkan kesediaan kerajaan menyiasat perkara itu secara terbuka dan bertanggungjawab.

“Sekiranya bukti yang dikemukakan kelak menunjukkan keperluan kepada RCI, maka pertimbangan sewajarnya boleh dibuat secara telus, bertanggungjawab dan berintegriti.

“Matlamat utama kita ialah memastikan keadilan ditegakkan berasaskan fakta, bukan tekanan politik,” tegasnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat