Isu tapak Masjid Dengkil: Selangor tegas roboh rumah ibadat tidak berdaftar, sah

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor berpendirian untuk merobohkan rumah ibadat peribadi yang tidak berdaftar dah sah sepertimana yang berlaku di tapak cadangan pembinaan Masjid Dengkil, baru-baru ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sekiranya pihak rumah ibadat peribadi terbabit masih gagal mengosongkan dalam tempoh ditetapkan, pihaknya tanpa berkompromi akan merobohkan struktur rumah ibadat itu.

Tegas Amiruddin, kerajaan negeri menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu isu itu segera diselesaikan bagi kepentingan umat Islam di kawasan tersebut.

“Mengikut titah Tuanku (Sultan Selangor), kami akan mengambil tindakan dalam tempoh sebulan bagi menyelesaikan isu ini.

“Pemilik rumah ibadat itu sudah bersetuju untuk mengosongkan kawasan berkenaan.

“Ia hanya tempat ibadat peribadi dan
bukannya masjid atau rumah ibadat yang berdaftar maka tidak wajar didirikan di atas tanah yang telah diperuntukkan untuk
pembinaan masjid bagi manfaat komuniti
Islam setempat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita
ketika menghadiri majlis Tautan Kasih
Komuniti Sabak Bernam di Bagan Nakhoda Omar, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, hari ini.

Tambah Amirudin, isu yang dikatakan turut melibatkan senstiviti agama itu akan dipastikan dapat diselesaikan dengan cara yang berhemah.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai tapak masjid baharu di Dengkil yang didakwa telah diceroboh dan dibina rumah ibadat peribadi secara haram.

Ketua Kampung Dengkil, Al Rasyid Ab Rani mendedahkan, struktur binaan haram itu terselindung di sebalik kandang lembu dan rumah kongsi haram yang diduduki warga asing.

Susulan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tampil memaklumkan, pihaknya akan memastikan tindakan bagi pengosongan tanah di tapak pembangunan masjid Dengkil dibuat dalam tempoh satu bulan.

Anda Mungkin Berminat