PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung isu laporan tiga kampung di Kalimantan Utara, Indonesia, yang didakwa kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Menurutnya, memandangkan isu berkenaan melibatkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jemaah Menteri telah meminta NRES untuk mengeluarkan penjelasan lebih terperinci dalam masa terdekat.
“Jemaah Menteri membincangkan perkara ini dan memandangkan ia menyentuh isu melibatkan JUPEM, pihak NRES diminta untuk menyusulinya dengan kenyataan yang lebih lengkap.
“Isu ini turut membabitkan siri perbincangan antara kedua-dua negara.
“Proses ini merupakan proses yang telah lama berjalan dan bukan semua perkara yang dilaporkan adalah tepat.
“Justeru, kita tunggu kenyataan penuh daripada pihak NRES,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.
Baca juga:








