KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menegaskan komitmen untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah, menjadikannya keutamaan utama dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keprihatinan serius terhadap pelaksanaan keputusan tersebut termasuk memastikan pematuhan kepada garis masa yang telah ditetapkan.
Menurut beliau, keputusan mahkamah pada 17 Oktober 2025 menetapkan tempoh 90 hari bagi semakan kadar Pemberian Khas Sabah serta 180 hari bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah mencapai persetujuan serta melaksanakan mekanisme pembayaran.
“Tempoh semakan 90 hari telah berakhir hari ini, dengan satu mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah telah diadakan pada 17 November 2025 sebagai sebahagian proses awal bagi membincangkan kerangka, parameter serta perkara asas pelaksanaan keputusan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan bahawa kunjungan hormat telah diadakan ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Musa Aman serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi memperkukuh komitmen semua pihak dalam menyegerakan proses semakan.
“Usaha ini penting bagi memastikan keseluruhan proses berjalan selaras dengan garis masa yang ditetapkan mahkamah, di samping menjunjung kedaulatan undang-undang.
“Keutamaan ini adalah demi kepentingan rakyat Sabah dan juga negara secara keseluruhannya,” katanya.








