PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam tindakan Kementerian Sumber Manusia yang tidak menghantar wakil pekerja dalam delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC) di Geneva, Switzerland tahun ini dan menyifatkannya sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Bersama MTUC, J. Solomon, menerusi satu kenyataan, hari ini, menolak anggapan bahawa ketiadaan wakil pekerja dalam delegasi Malaysia adalah akibat kecuaian semata-mata.
Sebaliknya, beliau berkata, tindakan tersebut merupakan satu pengkhianatan terhadap hak pekerja.
“Kita tidak boleh berdiri selambanya, ini bukan sekadar kecuaian tapi pengkhianatan sistemik terhadap hak pekerja,” katanya.
Susulan itu, MTUC mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan proaktif dan tidak sekadar mengeluarkan kenyataan kosong.
Antara tuntutan utama MTUC adalah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu ini dan memastikan kepentingan pekerja Malaysia terus terpelihara.
“Mereka mendesak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera untuk menyiasat isu ini dan memastikan reputasi pekerja tidak terus tercemar,” ujar Solomon.
Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menjelaskan bahawa ketiadaan wakil pekerja dalam delegasi Malaysia ke ILC berpunca daripada ketiadaan kepimpinan sah dalam MTUC.
KESUMA memaklumkan bahawa pemilihan semula kepimpinan MTUC yang sepatutnya berlangsung pada Mei 2025 telah ditangguhkan ke 10 Ogos 2025 susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 21 Februari 2025 yang mengarahkan pemilihan baharu dalam tempoh 90 hari.