Oleh: Hanim Nadia
SERDANG: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan Malaysia akan terus menjuarai hal berkaitan hab halal global.
Justeru, katanya, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung pensijilan halal adalah pandangan peribadi.
“Itu pandangan peribadi dan Malaysia terus menjuarai hab halal.
“Pandangan yang bersifat peribadi itu akan berlalu dengan berlalunya hari-hari. Sebab isu kontradiksi ini akan timbul setiap minggu setiap hari tetapi ia berlalu begitu.
“Yang penting Malaysia memang terkenal dengan hab halal bagi di seluruh dunia sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai sesi Lawatan Media di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada Isnin.
Pada 6 September lalu, Kok berkata pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.
Komen Kok menyusul susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal, kecuali premis menjual daging babi atau minuman beralkohol.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata kenyataan Teresa mengenai isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH).
Tegas Anwar, kenyataan Teresa itu antara lain mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.
Anwar juga menasihati mana-mana pemimpin politik untuk mengemukakan sebarang cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.
Susulan kenyataan itu, Kok akan dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman pada Selasa selepas kertas siasatan dibuka terhadapnya berkait 3R (kaum, agama, raja) mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.