Izzah Jawab Fitnah, Tiada Jet Peribadi Tunai Haji

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar tampil menjelaskan bahawa beliau dan suaminya menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kemewahan seperti yang didakwa oleh segelintir pihak termasuk dakwaan menggunakan jet peribadi.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Nurul Izzah menafikan fitnah yang tersebar dan menjelaskan bahawa mereka berdua menunaikan haji melalui visa mujamalah dengan segala urusan pengangkutan dan penginapan diuruskan oleh agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel.

“Kami menaiki penerbangan komersial dan menggunakan wang simpanan sendiri. Tiada jet peribadi seperti yang difitnah,” katanya.

Menurut beliau, tempat penginapan mereka di Mina juga adalah berdekatan dengan kawasan khemah jemaah Malaysia seperti mana kebanyakan jemaah haji lain.

Beliau menegaskan bahawa penyebaran maklumat yang tidak benar perlu diperbetulkan kerana ia boleh memberi kesan buruk, lebih-lebih lagi apabila melibatkan ibadah suci seperti haji.

“Apabila sesuatu yang tidak benar tersebar jauh dari hakikat sebenar, maka ia perlu diperbetulkan,” katanya.

Nurul Izzah turut berkongsi pengalaman berharga menghadiri sesi ilmu di Madinah bersama tokoh-tokoh ternama seperti Sheikh Dr Omar Suleiman, Dr Tahir Wyatt dan Ustaz Dr Mohd Amirul Hassan Ahmaf Tajuddin.

Katanya, pengalaman paling menyentuh hati ialah sewaktu melaksanakan ibadah di Padang Arafah bersama suami, mengingati ayat ketiga Surah al-Mā’idah yang menyatakan penyempurnaan agama Islam oleh Allah SWT.

Dalam nada yang penuh ketenangan, beliau menyeru agar perbezaan pandangan politik tidak dijadikan alasan untuk mencemarkan ibadah dan kehidupan peribadi seseorang.

“Dalam kita berbeza pandangan dan bertarung dalam medan politik, janganlah ibadah dijadikan bahan tohmahan dan fitnah,” katanya.

Nurul Izzah menutup kenyataan tersebut dengan doa agar lebih ramai umat Islam dikurniakan peluang menjadi tetamu Allah dan supaya ibadah yang dilaksanakan diterima serta dijauhkan daripada fitnah manusia.

Anda Mungkin Berminat