PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar meluahkan kesyukuran atas perjalanan spiritual yang penuh makna di Masjidil Haram serta menitipkan doa buat seluruh umat Islam yang menghadapi keperitan hidup akibat penindasan dan konflik.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau berkongsi pengalaman menghayati perjalanan suci, mengikuti jejak Nabi Muhammad (SAW) dan Nabi Ibrahim (AS) serta menyerahkan segala pengorbanan duniawi dalam mencari cinta, keampunan dan penerimaan daripada Allah SWT.
Beliau memetik kata-kata Ibn ‘Umar: “Semoga ibadahmu diterima Allah, pahalamu dilipat gandakan dan nafkahmu diganti (dengan rezeki yang lebih baik).” [Kashshāf al-Qinā‘ ‘an Matn al-Iqnā‘, Jilid 2, hlm. 519]
Nurul Izzah turut mengucapkan penghargaan kepada Sheikh Omar Suleiman atas inspirasi dan dorongan dalam menanamkan rasa cinta serta kesedaran akan ibadah haji serta kepada pihak agensi pelancongannya yang telah membantu dalam merancang dan mengiringi perjalanan mereka sehingga segala kewajipan dapat ditunaikan dengan sempurna.
“Memanjatkan doa dengan penuh harapan agar ibadah haji kami, dan seluruh jemaah yang lain, diterima sebagai haji yang mabrur,” katanya.
Sebelum menyempurnakan Tawaf Wida’ sebagai lambang perpisahan, beliau sempat menunaikan solat Jumaat di Masjidil Haram dan dalam lafas-lafas doa yang dititipkan, beliau mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin, Iran serta seluruh umat Islam yang terpaksa mengharungi penderitaan akibat penindasan, genosid.dan kekejaman.
“Daripada Allah kita datang, dan kepada-Nya juga kita kembali,” katanya.