Jabatan Mufti Pahang Nafi Surat Penetapan Waktu Solat Aidilfitri

KUANTAN: Jabatan Mufti Negeri Pahang menafikan penyebaran satu dokumen di media sosial yang didakwa sebagai surat rasmi berhubung penetapan waktu solat sunat Aidilfitri bagi negeri itu.

Dokumen yang tular berkenaan mendakwa waktu solat sunat Aidilfitri di Pahang tahun ini ditetapkan pada jam 8.45 pagi pada 20 Mac.

Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim menegaskan dokumen tersebut adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh pihak jabatan.

Menurutnya, pihak jabatan memandang serius penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan serta sentiasa merujuk kepada pengumuman rasmi daripada Jabatan Mufti Negeri Pahang atau pihak berkuasa agama negeri bagi mendapatkan maklumat yang tepat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau turut menggesa semua pihak agar bersama-sama mengekang penyebaran berita palsu yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Tambahnya, pihak jabatan tidak menolak kemungkinan membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya penyebaran dokumen palsu itu berterusan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat