PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara kini sedang meneliti laporan siasatan awal berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir, yang diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam kenyataan rasmi hari ini, jabatan itu memaklumkan bahawa laporan berkenaan diterima daripada Cawangan Sabah pada 3 Ogos dan Ibu Pejabat PDRM Putrajaya pada 4 Ogos.
“Proses penelitian ini merangkumi semua aspek undang-undang dan fakta bagi memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan undang-undang serta prinsip keadilan,” kata jabatan itu.
Jabatan Peguam Negara berkata, sebarang keputusan berhubung kes itu hanya akan dimaklumkan selepas penelitian terhadap laporan selesai sepenuhnya.
Pihaknya turut menggesa orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan dan keadilan.
Kes Zara Qairina mendapat perhatian meluas selepas kematiannya dilaporkan berlaku dalam keadaan mencurigakan, mencetuskan desakan pelbagai pihak agar siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh.
Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah.
Kes itu kini diklasifikasikan sebagai kes berprofil tinggi dan sedang disiasat oleh PDRM.