Jabatan Perikanan Perketat Tindakan Lawan Sindiket Dagangan Yu, Pari Dalam Talian

PETALING JAYA: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menegaskan komitmen penuh untuk mengekang sindiket perdagangan produk Ikan Yu dan Pari secara dalam talian, susulan pendedahan terbaharu Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) mengenai skala besar penjualan haiwan marin tersebut.

Ketua Pengarah DOF, Datuk Adnan Hussaian, berkata, laporan berkenaan membuka gambaran jelas terhadap corak perdagangan semasa yang semakin membimbangkan.

“Penemuan ini memberi gambaran penting mengenai corak perdagangan semasa, seterusnya membantu memperkukuh usaha pemuliharaan dan kawal selia terhadap kumpulan spesies marin yang semakin berisiko tinggi,” katanya.

Beliau berkata, DOF memandang serius dapatan itu dan menghargai kerjasama penuh WWF serta TRAFFIC Asia dalam menyebarkan maklumat serta mencetuskan kesedaran awal mengenai ancaman eksploitasi terhadap spesies terancam.

Menurut Adnan, pihaknya kini meneliti semula pendekatan pengurusan selain memperkukuh operasi pemantauan, semakan dasar dan tindakan penguatkuasaan di lapangan agar lebih berkesan.

“Malaysia sebagai Negara Pihak kepada Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) melaksanakan tanggungjawab mengawal perdagangan antarabangsa bagi spesies terancam, termasuk yu dan pari.

“DOF memastikan pematuhan permit CITES, pemeriksaan identiti spesies dan kolaborasi rapat dengan agensi penguatkuasaan di pintu masuk negara, bersandarkan data saintifik serta standard antarabangsa,” ujarnya.

Beliau menegaskan, tanggungjawab itu akan terus diperkukuh melalui semakan berkala serta peningkatan kapasiti penguatkuasaan.

Untuk rekod, beberapa spesies yu dan pari telah diwartakan di bawah Akta Perikanan 1985 serta Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999, yang menetapkan kawalan terhadap pengambilan, pendaratan, pemilikan, penjualan dan perdagangan spesies terancam.

Antara spesies yang dilindungi termasuk Great Hammerhead (Sphyrna mokarran), Scalloped Hammerhead (Sphyrna lewini), Smooth Hammerhead (Sphyrna zygaena), Oceanic Whitetip Shark (Carcharhinus longimanus) serta pari manta seperti Giant Manta Ray (Mobula birostris) dan Reef Manta Ray (Mobula alfredi).

Adnan turut menekankan kepentingan yu dan pari sebagai pemangsa puncak dalam ekosistem marin.

“Yu dan pari merupakan pemangsa puncak yang memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem marin.

“DOF komited memastikan perdagangan dan pendaratan spesies terancam dikawal secara ketat, berintegriti dan selaras dengan piawaian antarabangsa serta perundangan negara,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat