Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dengan kerjasama Cybersecurity Malaysia (CSM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bersiap siaga dalam menangani ancaman keselamatan siber.
Menurut Timbalan Menteri Digital, Teo Nie Ching, JPDP telah mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan kesedaran pengguna data dan rakyat mengenai Akta 709 bagi menjamin keselamatan data peribadi dalam transaksi komersial di Malaysia bagi memastikan data peribadi tidak diceroboh.
“Sejak tahun 2013 sehingga 7 Mac 2024, sebanyak 215 program kesedaran telah dilaksanakan oleh JPDP.
“JPDP telah memperkenalkan Notifikasi Ketirisan Data secara pentadbiran sebagai langkah interim sebelum pindaan Akta 709 diluluskan.
“Pengguna yang menghadapi ketirisan data peribadi boleh mengemukakan perkara ini kepada JPDP termasuk ancaman penggodaman,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ti Lian Ker, perihal keberkesanan terkini kerajaan menangani ancaman serangan siber membabitkan organisasi yang berurusan dengan data peribadi dan inisiatif terbaharu yang dirangka bagi mempertingkatkan kadar keselamatan siber di Malaysia.
Tambah Nie Ching, antara inisiatif terbaharu Kementerian Digital adalah meningkatkan kelengkapan kemudahan makmal keselamatan siber yang mendapat akreditasi serta pengiktirafan peringkat antarabangsa.
“Sehingga kini CyberSecurity Malaysia mempunyai 23 makmal bertauliah yang merangkumi Makmal Forensik Digital, Makmal Ancaman Siber, Makmal Penaksiran dan Penilaian serta Makmal Pembangunan Kriptografi.
“Kementerian Digital juga memfokuskan kepada tindakan yang perlu diambil demi mengelak atau mengurangkan risiko masa hadapan sekiranya berlaku sebarang insiden siber, dari sumber luar serta dalaman organisasi melalui perkhidmatan Pre-emtif CyberSecurity Malaysia,” jelasnya.
Kementerian Digital akan terus komited dalam menangani isu ancaman serangan siber dan menyokong cadangan penggubalan rang undang-undang yang baharu berkaitan keselamatan siber.
Baca juga: