HANYA kerana meminta pertolongan pemimpin berlainan parti politik, seorang lelaki jadi mangsa buli siber dengan gambarnya dijadikan poster beserta tulisan tidak senonoh di TikTok.
Susulan itu, anak kepada lelaki itu, Hananirusli menyelar mereka yang mengendalikan akaun Kelab Penyokong PAS Malaysia yang melabelkan ayahnya sebagai pengkhianat.
“Awak mungkin orang senang, kalau keluarga saya mampu, saya pun tidak mahu ayah saya minta bantuan merata tempat semata-semata untuk saya pergi belajar.
“Saya dah usaha kerja tetapi masih tidak cukup untuk membayar kos pembelajaran saya, tetapi salah ke kalau minta bantuan bukan daripada YB PAS?,” soalnya di ruangan komen TikTok pada Selasa.
Katanya lagi, ajaran agama sangat indah namun apa yang diamalkan oleh laman TikTok penyokong PAS itu bertentangan dengan akidah sebagai umat Islam.
“Macam ini ke ajaran dan fahaman yang dibawa? Kenapa awak nak cop pengkhianat? Adakah Islam mewajibkan kita untuk kekal dengan parti PAS sahaja?
“Jaga bahasa awak. Dia ayah saya dan bukan binatang yang awak boleh suka maki sebegitu rupa,” ujarnya lagi.
Terdahulu, ayah Hanani yang juga pengawal keselamatan Hospital Bukit Mertajam mendapatkan bantuan daripada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong bagi membantu proses anak tunggalnya yang bakal melanjutkan pelajaran di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Disebabkan tidak mampu menghantar dengan kereta dan mahu menggunakan bas, Steven yang juga MP Bukit Mertajam kemudiannya berkata akan menanggung tambang mereka sekeluarga pergi dan pulang, wang tunai sebanyak RM3,000 dan mengambil Hanani dalam program anak angkat Parlimen Bukit Mertajam.
Justeru, Hanani meminta pemberi komen bermuhasabah dan tidak mempermainkan maruah mana-mana individu lagi.
Difahamkan video mengecam tersebut telah pun dibuang.