Jadikan Ramadan Kayu Ukur, Jangan Ulang Kesalahan Lampau – Anwar

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam di seluruh negara untuk menjadikan bulan Ramadan sebagai kayu ukur kecemerlangan diri dan medan muhasabah, agar kesalahan lampau tidak berulang kembali khususnya dalam isu rasuah dan ketirisan.

Dalam ucapannya pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri di Auditorium Setia Perkasa 8, Putrajaya, Anwar menekankan bahawa Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi merupakan sebuah ‘Tarbiyatur Ruhiyyah’ madrasah rohani yang menguji keikhlasan serta disiplin diri.

“Apakah bulan Ramadhan ini prestasi kita, iman kita, akhlak kita, sahsiah kita, kerja kita, komitmen kita, kebersihan diri dan jiwa kita itu lebih baik daripada bulan sebelumnya.

“Jadi kita mesti diukur dan yang boleh ukur kita sendiri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan rohani yang dibina sepanjang Ramadan perlu diterjemahkan dalam bentuk tadbir urus yang bersih dan penuh integriti.

“Kita tidak mahu mengulangi kesalahan yang sama….. baik rasuah mahupun ketirisan.

“Kekuatan rohani sepanjang bulan Ramadan mesti dibina dengan berasaskan amanah dan tanggungjawab yang lebih baik,” tegasnya.

Anwar berkata, penghayatan Ramadan harus menjadi titik perubahan dalam pembinaan sahsiah, disiplin dan integriti, sekali gus memperkukuh kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.

“Kita tidak mahu ulang kesalahan yang sama baik rasuah mahupun ketirisan.

“Kekuatan rohani yang dibina sepanjang Ramadan mesti menjadi asas kepada amanah dan tanggungjawab yang lebih baik,” katanya lagi.

Perdana Menteri berharap bulan mulia ini bukan sahaja menjadi ruang untuk memperbaiki diri tetapi juga menjadi asas kepada kepimpinan dan pentadbiran negara yang lebih telus, beramanah dan berintegriti.

Anda Mungkin Berminat