Jafry Ariffin Ketuai UMNO Sabah

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan barisan kepimpinan baharu Badan Perhubungan UMNO Sabah, selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO.

Pelantikan tersebut menyaksikan Datuk Jafry Ariffin diberi mandat mengetuai UMNO Sabah sebagai Pengerusi, dengan sokongan Datuk Mohd Hasnol Ayub sebagai Timbalan Pengerusi, manakala Samasuddin Yusop dilantik sebagai Setiausaha.

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu amat penting bagi memperkukuh struktur pentadbiran parti di negeri berkenaan.

“Pelantikan ini dibuat bagi memastikan kesinambungan pentadbiran dan memperkukuh penyelarasan parti terutamanya dalam menggerakkan UMNO Sabah secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau turut menyeru agar seluruh kepimpinan dan ahli UMNO di Sabah memberikan sokongan penuh kepada barisan baharu ini demi memastikan kelancaran usaha parti.

“UMNO menyeru semua kepimpinan dan ahli agar memberikan sokongan padu kepada barisan yang baharu demi memastikan UMNO terus berperanan membela rakyat dan mendukung Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Anda Mungkin Berminat