Oleh: Aliyaa Azmi
JOHOR BAHRU: Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Fadhlina Sidek menyeru agar seluruh anggota parti terus menjaga ukhuwah dan adab berorganisasi meskipun pemilihan parti semakin hangat.
Dalam ucapannya pada perasmian Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan dan Wanita malam tadi, beliau berkata, kesatuan harus diutamakan melebihi kepentingan peribadi terutama ketika parti sedang melalui fasa terakhir pemilihan.
“Parti ini mesti dibina dengan kekuatan kita semua, kerana kita semua adalah keadilan,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan agar persaingan dalam parti tidak melampaui batas sehingga menjejaskan hubungan sesama anggota.
“Ketika kamu mencintai seseorang, cintailah dia dengan sederhana… jika kamu membencinya, bersederhanalah dalam kebencian itu. Kerana pada suatu hari nanti, kamu mungkin akan mencintainya,” katanya.
Mengakui bahawa memimpin parti yang telah berusia 25 tahun merupakan amanah besar, Fadhlina berkata, PKR perlu berperanan sebagai parti penyelesai masalah dan menjadi suara rakyat di akar umbi dan bukan sekadar medan perebutan jawatan.
Kongres berkenaan membuka tirai malam tadi dan dirasmikan oleh Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh dengan kehadiran Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim.