Jaguh regu badminton kebangsaan, Aaron-Wooi Yik kejar ranking No.1 dunia

Duo badminton nombor satu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dahagakan takhta No.1 dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Gandingan atlet emas negara ini untuk memburu ranking pertama akan bermula selepas menggalas harapan negara pada kejohanan Terbuka Malaysia yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Kejohanan Terbuka Malaysia ini sekaligus sebagai langkah pertama untuk memberikan keputusan yang baik kepada negara serta menjadikan mereka kekal komited dalam misi memburu takhta pertama dunia.

“Kami berharap kejohanan tebruka ini sebagai langkah kanan untuk kita mulakan misi tahun 2024.

“Saya dan rakan seperjuangan (Wooi Yik) akan memberikan segala-galanya pada aksi Jelajah Dunia Super 1000 itu,” katanya kepada Kosmo.

Tambah mereka lagi, kejohanan pertama pada tahun baharu ini perlu dimulakan dengan pencapaian keputusan yang baik kerana mereka akan beraksi di laman sendiri pada Terbuka Malaysia.

Walaubagaimanapun, kedua-dua pasangan regu itu tidak mahu meletakkan sasaran spesifik untuk mengelakkan tanggapan segelintir pihak sekiranya gagal mencapai sasaran tersebut.

“Saya tidak gemar bercakap mengenai sasaran kerana situasinya sama sahaja. Apabila letakkan sasaran juara, jika tidak dapat, (orang ramai) cakap tidak betul. Apabila sasar suku akhir, mereka cakap kita sasar suku akhir sahaja.

“Justeru, saya hanya fokus pada permainan sendiri,” ujarnya yang bakal membuat perhitungan dengan beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard pada pusingan pertama nanti.

Untuk rekod, pencapaian terbaik yang pernah dilakar bekas juara dunia itu pada Terbuka Malaysia adalah ketika edisi 2022 apabila mara ke pentas separuh akhir sebelum tewas kepada beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2023/12/28/bintang-muay-thai-negara-jojo-mahu-digelar-jaguh-dunia/

Anda Mungkin Berminat