Jailani Yang Mufliskan Diri Sendiri – Puad

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Salleh perlu bertanggungjawab atas tindakannya keluar daripada UMNO dan menyertai PAS.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Puad Zarkashi berkata, dakwaan Muhammad Jailani bahawa UMNO mahu melihatnya muflis dengan menuntut ganti rugi RM100 juta adalah tidak berasas.

Malah, Mohd Puad membidas bahawa tindakan Muhammad Jailani sendiri yang “tiada kelas” boleh menyebabkan dirinya menjadi bankrap,

“ADUN Rembia mendakwa tuntutan UMNO sebanyak RM100 juta bertujuan supaya dia menjadi muflis. Ini satu lagi YB yang tiada kelas.

“Dia yang memufliskan dirinya. Dia tandatangan SD kemudian dia melompat parti maka tanggunglah sendiri. Dia boleh tanya pula “Apa yang saya nak beri anak saya makan?,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Puad turut melabel Jailani seumpama katak yang melompat mencari makan kerana sering bertukar-tukar parti.

“Jailani tidak pernah cukup makan. Sebab itu katak suka melompat cari makan. Dia asal UMNO, masuk PKR kemudian jadi ADUN bebas. Akhirnya Takiyuddin Hassan umum dia ahli PAS.

“Sepatutnya Takiyuddin cakap, oleh kerana PAS sudah banyak lelaki, maka PAS memerlukan lebih banyak katak, termasuk Jailani untuk kuatkan PAS,”sindirnya lagi.

Terdahulu, Jailani dilaporkan mendakwa tuntutan RM100 juta oleh UMNO sebagai harga pengorbanan yang perlu dibayar kerana berpegang kepada prinsip.

Beliau berkata, tindakannya menyertai PAS kerana pemimpin UMNO gagal menunaikan janji, termasuk bekerjasama dengan DAP.

Anda Mungkin Berminat