JAIS sahkan video Qadiani tular semula rakaman lama 2019

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan bahawa video berkaitan ajaran Qadiani yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini merupakan rakaman lama dari tahun 2019 yang disebarkan semula.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan di lokasi berkaitan sejurus dimaklumkan mengenai video tersebut ketika ia mula tersebar sebelum ini.

“Berdasarkan rekod, JAIS telah membuat siasatan di lokasi terbabit selepas dimaklumkan mengenai video berkenaan pada waktu itu.

“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati tiada kesan kegiatan seumpamanya berlaku.

“JAIS turut menyiasat lapan lagi lokasi di Ulu Yam yang dikaitkan dengan aktiviti sama, namun tiada tanda-tanda kegiatan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hantaran di Facebook yang mendakwa ajaran Qadiani tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama.

Menurut beliau, ajaran Qadiani bukan sebahagian daripada ajaran Islam dan telah difatwakan terkeluar daripada agama Islam di Selangor menerusi keputusan fatwa pada 24 September 1998 serta 17 Ogos 2000.

Katanya, JAIS sentiasa memantau serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang aktiviti berkaitan ajaran tersebut, termasuk mengenal pasti individu terlibat, pergerakan kumpulan, hubungan komunikasi dan aktiviti yang dijalankan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai atau mengikuti program yang mempunyai kaitan dengan ajaran Ahmadiah atau Qadiani serta fahaman lain yang mempunyai ciri-ciri serupa.

“Perbuatan itu merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

“Umat Islam juga perlu berhati-hati kerana penampilan dan cara amalan kumpulan ini sangat menyerupai amalan umat Islam majoriti di negara ini, kecuali terdapat beberapa perbezaan tertentu yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat