SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menjalankan siasatan berhubung penularan sebuah video aktiviti senaman aerobik yang didakwa berlaku di Bukit Badong, Selangor.
Video tersebut mencetuskan perdebatan hangat di media sosial selepas ia dimuat naik ke platform TikTok dan menjadi tular.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius insiden berkenaan kerana ia dipercayai mengandungi elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam serta berpotensi menjejaskan imej agama Islam.
“Jabatan ini memandang serius perbuatan ini dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang kerana perbuatan tersebut selain sangat tidak beradab.
“Ia mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam atau suatu perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina,” katanya.
Menurut kenyataan itu, JAIS kini sedang menyiasat lokasi sebenar kejadian, penganjur program serta individu-individu yang terlibat dalam rakaman tersebut.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi talian Hotline JAIS di 1800-88-2424.
Kejadian itu sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai batas kesopanan dan sensitiviti agama dalam aktiviti awam khususnya apabila ia melibatkan penyebaran kandungan di media sosial.
“Sehubungan itu, JAIS sedang menyiasat kejadian tersebut termasuk lokasi sebenar kejadian, penganjur program dan individu-individu yang terlibat.
“JAIS memohon kerjasama daripada orang awam untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi talian Hotline JAIS di talian 1800-88-2424,” tambah kenyataan itu.
JAIS menegaskan komitmennya untuk memastikan keharmonian dan kesucian nilai-nilai Islam terus terpelihara di negeri Selangor.








