JAKIM Anjur Solat Hajat Doakan Keselamatan Rakyat Sabah

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan solat hajat di tiga masjid utama malam ini bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Sabah susulan tragedi banjir dan tanah runtuh yang melanda negeri berkenaan.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, solat hajat berkenaan akan diadakan selepas solat Maghrib di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar yang mengajak umat Islam agar sama-sama berdoa supaya keadaan di Sabah kembali pulih.

“JAKIM menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama memanjatkan doa dengan penuh pengharapan, semoga segala urusan mangsa bencana dipermudahkan dan rakyat Sabah sentiasa dalam rahmat serta perlindungan-Nya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

JAKIM dalam masa sama turut menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa yang terkesan dan berharap bantuan daripada semua pihak dapat membantu meringankan beban mereka.

Sejak minggu lalu, beberapa daerah di Sabah termasuk Penampang, Tuaran dan Kota Belud dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan, menyebabkan ratusan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Kejadian tanah runtuh turut menjejaskan beberapa laluan utama sehingga menyukarkan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan.

Setakat ini, 12 orang dilaporkan maut akibat tertimbus di beberapa lokasi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat