PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarah untuk menyediakan satu laporan lengkap mengenai video tular yang memaparkan seorang pendakwah dan sekumpulan pelajar mengalunkan bait-bait Arab.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, tindakan segera perlu diambil untuk menangani sebarang isu berkaitan ketaksuban melampau yang boleh mempengaruhi akidah masyarakat.
Jelasnya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Mufti Negeri Kedah turut diminta untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut berhubung perkara tersebut.
“Sebarang isu berkaitan ketaksuban melampau perlu ditangani dengan segera kerana sekiranya tidak dibendung, ia boleh mengakibatkan masyarakat terjerumus kepada amalan yang bercanggah dengan akidah,” katanya.
Mohd Na’im juga menekankan bahawa agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan seperti JAKIM, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) perlu memperkukuh usaha memberikan kefahaman tentang asas akidah Ahli Sunnah Waljamaah kepada masyarakat.
JAKIM dijangka akan mengemukakan laporan terperinci kepada pihak berkuasa agama negeri sebagai panduan bagi memastikan langkah-langkah yang tepat diambil bagi menangani isu tersebut.
Beliau turut menyeru agar masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi dan membiarkan pihak berkuasa menyelesaikan perkara itu.
Mohd Na’im turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menganut dan mengamalkan ajaran agama supaya tidak terjebak dalam amalan yang menyimpang.
“Kita tidak boleh membiarkan ketaksuban atau salah faham agama menular tanpa kawalan kerana ia boleh mencetuskan kegusaran di kalangan umat Islam,” tegasnya.