PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melancarkan sistem baharu MyHALALINGREDIENTS bagi meningkatkan kecekapan proses pensijilan halal di Malaysia.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, sistem ini berkuat kuasa pada 15 Ogos 2025 dan diintegrasikan dengan platform MYeHALAL.
“MyHALALINGREDIENTS membolehkan rekod dan penilaian semua bahan mentah dilakukan secara digital. Ini mengurangkan keperluan dokumen fizikal berulang dan mempercepatkan proses semakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Antara faedah sistem ini termasuk pendaftaran lebih mudah, semakan cepat, pengurusan rantaian bekalan yang sistematik, dan pengurangan tempoh keseluruhan proses pensijilan.
Bagi memastikan peralihan lancar, JAKIM akan mengadakan taklimat dalam talian pada 18 Ogos 2025 untuk semua syarikat yang terlibat dalam pensijilan halal.
“Kerjasama padu pihak industri amat penting bagi memperkasa pensijilan halal Malaysia dan mengekalkan status negara sebagai peneraju industri halal global,” ujarnya lagi.
Taklimat ini akan meliputi semua kategori industri dan skim pensijilan halal Malaysia, dengan pautan pendaftaran disediakan di laman rasmi Facebook JAKIM.
Pensijilan halal di Malaysia bermula sejak 1974 dan kini diiktiraf di lebih 80 negara, menjadikan ia antara sistem paling dipercayai di dunia bagi memastikan integriti produk halal.
Baca juga:








