PETALING JAYA: Seluruh masjid dan surau di bawah pengurusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diseru untuk menunaikan Solat Hajat dan doa munajat selepas solat Jumaat hari ini bagi memohon perlindungan Allah SWT ke atas Masjid Al-Aqsa serta keselamatan rakyat Palestin.
Menerusi kenyataan media pada Jumaat, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap perkembangan terkini yang mengancam maruah serta keselamatan Masjid al-Aqsa, susulan laporan mengenai risiko keruntuhan akibat kerja-kerja penggalian agresif oleh rejim Zionis Israel di sekitar Kota Lama Baitulmaqdis.
“Sehubungan dengan itu, Jabatan ini telah membuat penyelarasan bersama pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan mengarahkan semua masjid dan surau di bawah pengurusan JAKIM mahu pun JAWI untuk melaksanakan Solat Hajat dan doa munajat secara khusus selepas Solat Jumaat hari ini.
“Ianya, sebagai menyahut sepenuhnya seruan YB Senator Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), demi memohon perlindungan Allah SWT ke atas Masjid al-Aqsa dan keselamatan rakyat Palestin yang terus dizalimi.
“Pelaksanaan Solat Hajat ini mencerminkan kesatuan dan kebersamaan umat Islam dalam mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa serta mendoakan agar penderitaan rakyat Palestin segera berakhir,” ujarnya.
JAKIM dengan itu, berharap usaha tersebut menjadi nyalaan doa yang tidak pernah padam dalam memperteguh ikatan hati umat Islam seluruh dunia dan menjadi asbab turunnya pertolongan Allah SWT untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa serta mengangkat penderitaan rakyat Palestin yang sekian lama dizalimi.
Baca juga:








