JAKIM: Pensijilan halal Malaysia penanda aras antarabangsa, tiada isu berbangkit

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan isu memperluas pensijilan halal kepada aspek pentadbiran negara tidak berbangkit kerana perkara itu sudah ditangani melalui mekanisme berautoriti sedia ada.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pensijilan halal adalah mekanisme rasmi negara bagi menjamin keyakinan pengguna Islam serta memastikan industri mematuhi piawaian ditetapkan.

“Tanpa pensijilan halal yang sah, masyarakat berisiko berdepan kekeliruan, manipulasi pasaran dan eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Menurut beliau, tanggungjawab membanteras rasuah, memperkukuh integriti dan memastikan keadilan terlaksana merupakan mandat jabatan serta kementerian, selain agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan institusi kehakiman.

Beliau menambah, JAKIM turut menekankan mesej larangan rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan amanah melalui khutbah Jumaat, program pembangunan ummah, kempen kesedaran dan medium dakwah lain.

“Kerajaan MADANI melalui JAKIM akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan semua pihak bukan sahaja dalam mengekalkan pensijilan halal Malaysia sebagai penanda aras antarabangsa, malah memperkasa pendidikan Islam, dakwah dan institusi keluarga,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat