PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melangkah ke era pendigitalan dengan memperkenalkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) secara elektronik atau e-Cert yang mula dilaksanakan pada 5 Mei lalu.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, inisiatif itu sejajar dengan agenda Pendigitalan Perkhidmatan Awam oleh Kerajaan MADANI yang bertujuan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan serta mengurangkan kerenah birokrasi.
“Semua permohonan SPHM yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia peringkat JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) pada atau selepas 5 Mei akan diproses secara elektronik (e-Cert).
“Pemohon yang berjaya mendapat pengesahan kini boleh mencetak sendiri sijil halal mereka melalui sistem MYeHALAL” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Walau bagaimanapun, katanya, bagi syarikat yang masih memerlukan salinan sijil fizikal yang dicetak dan disahkan oleh JAKIM atau agensi berkaitan, mereka perlu mengemukakan permohonan rasmi.
Tambahnya, percetakan sijil fizikal itu akan dikategorikan sebagai cetakan semula dan dikenakan bayaran, selaras dengan ketetapan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.
“Pelaksanaan e-Cert ini bukan sekadar memodenkan proses pensijilan halal tetapi juga mencerminkan komitmen JAKIM terhadap pembaharuan dan pengupayaan modal insan, selari dengan matlamat Malaysia MADANI.
“Inisiatif ini juga sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan,” tambahnya lagi.