JAKIM Sokong Tindakan JAIP Tumpas Ajaran Menyeleweng ‘Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi’

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang menahan sekumpulan individu dipercayai terlibat dengan ajaran menyeleweng dikenali sebagai Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan langkah itu sebagai penting dan tepat pada masanya dalam usaha mengekang penyebaran fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

“Isu penyimpangan akidah bukan hanya soal penguatkuasaan tetapi juga soal pemeliharaan kesucian Islam dan keselamatan akidah umat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, JAKIM akan terus memperkukuh kerjasama dengan jabatan agama Islam negeri bagi memastikan tindakan terhadap ajaran sesat dilaksanakan secara selaras dan bersepadu di seluruh negara.

Mohd Na’im turut menyeru umat Islam agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan individu atau kumpulan yang mendakwa memiliki keistimewaan agama tertentu atau membawa ajaran di luar kebiasaan.

“Dapatkan panduan daripada pihak berkuasa agama sebelum menyertai mana-mana kumpulan dan salurkan maklumat jika mengesan aktiviti mencurigakan yang boleh mengancam akidah masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI komited untuk memperkukuh pendekatan dakwah, pendidikan dan penguatkuasaan demi memastikan umat Islam kekal berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sahih berpaksikan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.

Penahanan oleh JAIP baru-baru ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa agama negeri dalam membanteras penyebaran ajaran sesat yang boleh menggugat akidah dan perpaduan umat Islam di negara ini.

Anda Mungkin Berminat