JAKIM Teliti Dakwaan Penglibatan Muslim Dalam Program ‘Interfaith Water Ceremony’

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi perhatian serius terhadap isu dakwaan penglibatan individu Muslim dalam program dikenali sebagai ‘Interfaith Water Ceremony’, yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, individu yang dikaitkan dengan program berkenaan bukan pegawai JAKIM.

Namun, pihaknya akan memanggil individu tersebut bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 18 Disember 2025 bagi menjelaskan dakwaan penglibatan pegawainya dalam program berkenaan.

“Ini termasuk latar belakang penganjuran, tujuan kehadiran pegawai agama Islam negeri serta konteks sebenar rakaman yang tular di media sosial,” katanya.

Bagi memastikan siasatan dijalankan secara adil dan menyeluruh, JAKIM turut mengadakan pertemuan dengan Penyelidik Kultus, Ahmad Iqram Mohamad Noor untuk mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung isu yang dibangkitkan.

“Perkara ini sedang diteliti secara serius oleh JAKIM,” katanya lagi.

Terdahulu, dakwaan penglibatan umat Islam dalam dakyah sesat menerusi Interfaith Water Ceremony menjadi tular selepas sebuah akaun Facebook memuat naik artikel bertajuk Siri 18: Muslim Terlibat Dalam Dakyah Sesat Interfaith Water Ceremony pada Khamis, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Anda Mungkin Berminat