KUANTAN: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menghargai keputusan pembebasan 17 individu komuniti Orang Asli yang ditahan berhubung insiden pencerobohan tanah di Kampung Orang Asli Jemeri, Rompin, Pahang kelmarin.
Unit Komunikasi Korporat JAKOA dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menghormati sepenuhnya proses siasatan yang sedang dijalankan.
“JAKOA mengambil maklum serta menzahirkan keprihatinan terhadap laporan berhubung penahanan 21 individu daripada komuniti Orang Asli yang dikaitkan dengan insiden pencerobohan tanah milik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Kami menggesa semua pihak agar memberi ruang serta masa kepada pihak polis untuk melaksanakan siasatan secara adil, telus dan berlandaskan undang-undang,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
JAKOA menegaskan komitmennya untuk terus memantau perkembangan kes, memberi sokongan sewajarnya kepada komuniti Orang Asli, serta memastikan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian selaras dengan peruntukan undang-undang dan prinsip keadilan sosial.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi mengesahkan penahanan 21 penduduk Orang Asli dari Kampung Jemeri.
Kesemua individu itu didakwa menceroboh tanah milik Sultan Pahang seluas 718.281 hektar serta merosakkan palang besi dan memotong pokok kelapa sawit di kawasan ladang tanpa kebenaran.
Kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan (pencerobohan tanah) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (kerosakan harta).
Kesemua yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan 17 wanita berusia antara 26 hingga 60 tahun.
Sharif Shai berkata, 17 wanita suku Jakun telah dibebaskan kira-kira jam 5 petang kelmarin, manakala empat lelaki dijangka dibebaskan hari ini.
Baca juga:








