Jalur Gemilang bukan sekadar kain bercorak, tapi maruah negara – Menteri Agama

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan dan identiti sesebuah negara, justeru ia sama sekali tidak boleh dipersenda mahupun diperlakukan secara cuai.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar yang mengulas perkara itu sepertimana yang dititah oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Sebagai Menteri yang memegang amanah Hal Ehwal Agama, saya memandang serius isu penyiaran imej Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit yang telah disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

“Perkara ini bukan sahaja menyentuh sensitiviti rakyat, bahkan mencabar nilai simbolik dan semangat patriotik yang telah sekian lama terpahat dalam jiwa rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Mohd Nai’im turut menyeru semua pihak terutamanya media yang sewajarnya lebih peka dan bertanggungjawab dalam memastikan ketepatan bahan siaran.

“Jalur Gemilang bukan sekadar kain bercorak, tetapi lambang perjuangan, kemerdekaan dan maruah negara yang mesti dipertahankan bersama,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh institusi pendidikan, badan media, organisasi masyarakat Madani serta pihak yang lain untuk giat dalam memperkukuh usaha mendidik rakyat mengenai makna dan nilai simbol negara yang mana ia selari dengan prinsip Malaysia Madani yang mengangkat hikmah, hormat dan tanggungjawab bersama.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, bendera bukan sekadar sehelai kain berwarna-warni tetapi ia mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.

“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titah Sultan Ibrahim menerusi kenyataan baru-baru ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat