JAN Digesa Dekati Rakyat Tanpa Beban

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Jabatan Audit Negara (JAN) perlu mencari pendekatan baharu bagi mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tanpa menambah beban mereka.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan 120 Tahun JAN, sambil menekankan bahawa pengauditan yang berkesan harus memberi impak maksimum kepada masyarakat.

“JAN perlu mencari kaedah mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tanpa membebankan mereka.

“Saya menyeru semua pihak untuk menyokong usaha memperkemas sistem pengauditan agar ia lebih efisien, pantas dan relevan,” katanya.

Anwar berkata, sistem audit yang dinamik dan responsif bukan sahaja memperkemas pengurusan kerajaan tetapi juga memastikan rakyat merasai manfaatnya secara langsung.

Menurut beliau, pendekatan baharu termasuk turun padang dan mendekati masyarakat amat penting bagi menjelaskan fungsi audit sebagai alat memperbaiki perkhidmatan awam, bukan sekadar prosedur birokratik.

“Saya menyeru semua pihak termasuk jabatan kerajaan dan masyarakat untuk berganding bahu menyokong inisiatif JAN.

“Supaya sistem audit dapat memberi manfaat optimum, menyelesaikan masalah secara lebih cepat dan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat