KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan akan membuktikan tujuh pertuduhan yang dihadapi Ahli Parlimen Pagoh itu dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan pembukaan pihak pendakwaan, mereka akan menunjukkan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima sumbangan wang berjuta-juta ringgit melalui Muhyiddin ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri.
Pendakwaan mengakui wang berkenaan tidak dimasukkan ke dalam akaun peribadi tertuduh, namun disalurkan ke akaun Bersatu yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek Program Jana Wibawa.
“Kami mengakui bahawa wang berjuta-juta itu tidak masuk ke poket tertuduh, tetapi dimasukkan ke dalam akaun Bersatu yang merupakan sekutunya, di mana tertuduh mempunyai kepentingan secara tidak langsung dalam projek Jana Wibawa.
“Kami akan bergantung kepada keterangan dokumentari, keterangan langsung dan keterangan mengikut keadaan bagi membuktikan kes ini. Pihak pendakwaan juga akan memanggil kira-kira 30 saksi,” menurut kenyataan tersebut.
Pendakwaan turut menyatakan bahawa tanpa kedudukan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan Perdana Menteri ketika itu, parti berkenaan tidak akan menerima sumbangan wang berjuta-juta ringgit.
Hari ini merupakan hari pertama perbicaraan kes tersebut yang melibatkan tujuh pertuduhan terhadap Muhyiddin, yang dijadual berlangsung selama tiga hari minggu ini di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan sebanyak 29 hari bagi perbicaraan kes itu, meliputi tarikh 9 hingga 11 Mac, 13, 16, 28 dan 29 April, 25 dan 26 Mei, 6 hingga 10, 13 hingga 17 serta 27 hingga 29 Julai, dan 7, 18, 19, 20, 21, 26 serta 27 Ogos 2026.
Tarikh-tarikh tersebut dipersetujui kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum ditetapkan oleh mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin didakwa ketika menjawat jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah lebih RM200 juta daripada seorang individu serta tiga syarikat yang mempunyai kaitan dengan parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh pula, beliau sebagai Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank dan AmBank milik parti tersebut.
Pada prosiding 7 Oktober tahun lalu, mahkamah dimaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) menolak representasi Muhyiddin untuk menggugurkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Susulan itu, pihak pendakwaan memohon agar tarikh perbicaraan ditetapkan dan kesemua tujuh pertuduhan tersebut didengar secara bersama.
Baca juga:








