Oleh: Wahida Ramlan
“JANGAN buat orang bodoh terkenal dengan podcast tidak berfaedah” itu apa yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Fadly Khamis ketika mengupas mengenai isu podcast yang menjadi trend dalam kalangan artis dan pempengaruh media sosial ketika ini.
Menurutnya, pihak yang terlibat terutama pempengaruh harus mendalami ilmu sebelum mengeluarkan sebarang kandungan di media sosial dan bukan hanya sekadar berlandaskan sambutan umum sehingga sanggup mencetuskan kontroversi murahan.
“Dalam mengejar perhatian sanggup berlumba-lumba menerbitkan kandungan yang bersifat kontroversi dan publisiti murahan untuk menarik pendengar-pendengar. Kadang-kadang isu yang dibincangkan langsung tidak sama dengan kandungan video.
“Menjadi isu apabila topik yang tidak berfaedah dijadikan satu perbahasan yang mengalihkan motif utama podcast dicipta adalah untuk memberi ruang kepada topik berat dibual dengan cara santai sambil menyebarkan ilmu pengetahuan dan kesedaran.
“Sebagai contoh seorang individu buat kandungan lucah di laman X dan dia dipanggil untuk menjadi topik di podcast tersebut, di mana (ianya) tak sepatutnya berlaku. Kita tak nak ada budaya memuja (glorify) perkara-perkara yang salah. Jangan buat orang bodoh terkenal.

Jelasnya lagi, setiap kandungan mahupun penerbitan program memerlukan etika dalam proses kandungan dan ilmu harus diterapkan dalam diri.
“Semua orang memang dilahirkan sukakan hiburan itu adalah fitrah manusia tetapi kena ada batasan. Kita kena ada batasan untuk menjadikan diri kita tahu batasan dengan persiapkan diri dengan ilmu.
“Pempengaruh tidak boleh mengejar publisiti semata dalam masa yang sama kena memenuhkan diri dengan ilmu sepatutnya.
Jelas Fadly, ilmu-ilmu penerbitan perlu dipelajari dan diterapkan kerana ia akan berbalik kepada diri sendiri.