Oleh: Tyah Helmi
TITIWANGSA: Rakyat diingatkan agar tidak bersikap ‘vigilante’ (pendekar jalanan) atau mengambil tindakan berdasarkan perasaan sendiri, sebaliknya menyerahkan segala perselisihan faham kepada pihak berkuasa untuk diuruskan mengikut jalur undang-undang khususnya dalam isu melibatkan agama dan perkauman.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Kita serah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
“Mesej yang penting disampaikan ialah kita tidak akan berkompromi dalam apa-apa perkara yang mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram yang tetap dijalankan sehingga mencetuskan kekecohan di hadapan pusat beli-belah Sogo pada Sabtu.
Fahmi memberi jaminan bahawa aduan berkaitan konflik pembinaan rumah ibadat haram akan diuruskan dengan baik melalui undang-undang sedia ada.
“Dan Insya-Allah sekiranya aduan dibuat dan undang-undang sedia ada maka boleh diurus dengan baik.
“Saya difahamkan Ketua Polis Kuala Lumpur telah mengadakan sidang media.
“Saya belum mengetahui apa yang telah beliau maklumkan pagi tadi,” ujarnya.
Menurutnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, telah memaklumkan jumlah tangkapan berkaitan himpunan tersebut termasuk beberapa individu lain yang turut ditahan.
“Menteri Dalam Negeri (Saifuddin) telah memaklumkan sejumlah tangkapan bukan hanya mereka yang hadir dalam himpunan malam tadi.
“Tapi juga ada beberapa lain yang telah ditahan.
“Kita serah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekali lagi meminta penganjur agar tidak meneruskan himpunan berkenaan atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam, bersempena lawatan rasmi Presiden India ke Malaysia.
Saifuddin berkata, pihak polis telah bertemu dengan penganjur untuk menyampaikan kebimbangan berkaitan aspek keselamatan serta menekankan kepentingan menjaga adab dan tertib negara sebagai tuan rumah kepada tetamu penting.








