Oleh: Tyah Helmi
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak, khususnya blok pembangkang, agar tidak memanipulasi isu had tempoh jawatan Perdana Menteri sebagai alat politik perkauman yang sempit.
Dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri, Anwar menegaskan bahawa langkah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun adalah sejajar dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan visi reformasi kerajaan.
“Langkah ini bukan sahaja selaras dengan gagasan ‘Membangun Negara Madani’, tetapi juga bertujuan memastikan pentadbiran yang bersih, sistematik dan bebas daripada risiko pemusatan kuasa serta penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pendekatan itu telah lama diamalkan di negara-negara lain seperti Indonesia dan ia mencerminkan keperluan untuk memberi ruang kepada pemimpin baharu yang mampu membawa nafas segar kepada pentadbiran negara.
Anwar juga menggesa Ahli Parlimen yang mempersoalkan langkah ini untuk merujuk buku beliau, iaitu ‘Membangun Negara Madani’ khususnya muka surat 181 di bawah tajuk ‘Dasar Keutamaan Untuk Malaysia yang Lebih Baik’.
“Baca, fahami dan bahaskan isu ini dengan penuh tanggungjawab.
“Kita perlu melihat kepada cabaran masa depan dan membina sistem yang lebih telus serta adil,” tambahnya.