Jangan janji gah, tetapi gagal tunai komitmen, Taufiq beritahu Sanusi

PETALING JAYA: Sekadar gah berjanji tetapi gagal menunaikan komitmen, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau merujuk kepada kenyataan terbaru Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menggesa Kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa pengurusan tanaman dan industri padi kepada kerajaan negeri bagi menangani isu kekurangan bekalan beras tempatan.

Sementara itu katanya, Projek Mega Langkasuka di Langkawi yang sepatutnya menjadi pemangkin kemajuan pulau tersebut dengan nilai pelaburan RM40 bilion, kini terhenti selepas pelabur utama, Bin Zayed International LLC, menarik diri.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada pentadbiran beliau benar-benar mempunyai keupayaan untuk menguruskan projek berskala besar atau sekadar gah berjanji tetapi gagal menunaikan komitmen.

“Malah, nasib yang sama menimpa projek pembinaan litar lumba antarabangsa dan stadium di Sungai Petani yang diumumkan dengan penuh gembar-gembur tetapi kini terbengkalai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Taufiq, apabila dipersoalkan mengenai kegagalan projek-projek tersebut, Sanusi dengan mudahnya ‘mencuci tangan’ dan menyatakan bahawa projek tersebut adalah inisiatif syarikat swasta dan bukan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

“Sikap lepas tangan ini menimbulkan kebimbangan yang serius.

“Jika pengurusan tanaman dan industri padi diserahkan kepada beliau (Sanusi) dan menghadapi kegagalan yang berkemungkinan besar berdasarkan rekod prestasi beliau, adakah kita akan menyaksikan skrip yang sama?” soalnya.

Mengulas lanjut, Taufiq yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani turut mengetengahkan tanggungjawab kerajaan negeri berkenaan isu air di Kedah yang sepatutnya menyediakan pelan penyelesaian untuk rakyat tetapi gagal.

Beliau turut mempersoalkan tentang kebolehan Sanusi dalam mengambil alih sektor penting seperti tanaman dan industri padi yang melibatkan keterjaminan makanan negara.

“Sebelum menuntut kuasa tambahan, ada baiknya Datuk Seri Sanusi menunjukkan keupayaan dalam menguruskan isu-isu asas di negeri Kedah terlebih dahulu.

“Rakyat mahukan kepimpinan yang bertanggungjawab dan berani mengambil akauntabiliti, bukan pemimpin yang sekadar membuat tuntutan tetapi enggan memikul amanah apabila sesuatu tidak berjalan seperti yang dirancang,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat