Oleh:Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle menegur tindakan segelintir pihak yang menghidupkan budaya mengejutkan sahur dengan paluan gendang seperti yang tular dalam sebuah video baru-baru ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, kejadian itu dipercayai berlaku di satu daerah di Lembah Klang dan mengharapkan agar budaya sedemikian tidak diperluas atau diteruskan di negara ini.
“Saya percaya penonton sudah melihat video itu. Saya difahamkan ia berlaku di Malaysia dan saya berharap budaya seperti ini tidak perlu dikembangkan serta tidak diteruskan,” katanya dalam satu hantaran di Instagram pada Selasa.
Menurut beliau, tidak semua rakyat di negara ini dituntut untuk bangun bersahur, justeru tindakan mengejutkan orang ramai dengan bunyi yang kuat boleh menimbulkan gangguan kepada pihak lain.
“Dalam negara kita, bukan semua orang dianjurkan untuk bersahur. Ada wanita yang haid, ada yang dalam keadaan nifas, ada anak-anak kecil, ada juga yang mempunyai bayi yang memerlukan tidur. Mereka ini tidak disuruh pun untuk bangun bersahur.
“Apabila kita lakukan perkara seperti ini, kita sebenarnya mengganggu mereka,” jelasnya.
Tambahnya, Malaysia sebagai sebuah negara majmuk turut mempunyai masyarakat bukan Islam yang mungkin berasa kurang senang sekiranya diganggu pada waktu awal pagi.
“Bahkan dalam negara kita juga ada orang bukan Islam. Jangan sampai mereka tiba-tiba membenci Islam sedangkan Islam sendiri tidak menyuruh perkara ini dilakukan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Dr Rozaimi menjelaskan bahawa tidak mempunyai masalah sekiranya laungan azan dilakukan sebagaimana yang disyariatkan, termasuk amalan melaungkan azan pertama sebelum Subuh dan azan kedua apabila masuk waktu Subuh.
“Saya tiada masalah untuk azan lebih daripada sekali bagi mengejutkan orang bersahur. Azan pertama sebelum Subuh dan azan kedua pada waktu Subuh. Itu memang ada dalam syariat,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut memetik pandangan ulama silam, Ibn al-Jawzi yang pernah mengkritik amalan membaca al-Quran dari menara tinggi kerana dianggap mengganggu orang yang sedang tidur pada waktu malam.
Sehubungan itu, Dr. Rozaimi menyeru masyarakat agar bersatu hati dalam menolak budaya yang tidak dituntut agama dan berpotensi menimbulkan ketidakselesaan awam.
“Saya mengharapkan agar kita semua bersatu hati untuk membantah perkara ini dan tidak perlu melakukannya serta tidak mengembangkannya di Malaysia,” tegasnya.
Baca juga:








