Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Umat Islam diingatkan agar tidak mempertikaikan atau menghina mana-mana pemimpin negara hanya kerana perbezaan ideologi politik, termasuk dalam isu bacaan takbir raya yang tular baru-baru ini.
Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim ketika dihubungi Malaysia Bangkit hari ini berkata, perbezaan politik tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengaibkan atau menyebar fitnah terhadap sesiapa, lebih-lebih lagi pemimpin negara yang juga beragama Islam.
“Nabi Muhammad SAW mengajar kita berakhlak sesama manusia, lebih-lebih lagi dengan para pemimpin. Jangan kerana berbeza pandangan, kita hilang adab dan menjadi kilang dosa di dunia,” katanya.
Beliau turut menyokong kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, yang menegaskan agar masyarakat tidak mempermain atau memanipulasi takbir raya untuk kepentingan politik.
“Takbir raya adalah tanda keinsafan dan pengagungan kepada Allah, bukan hanya soal suara yang merdu atau tidak. Kita harus menghormati dan menghayati makna takbir itu, tanpa mengira siapa yang membacakannya,” katanya.
Dr Izhar Ariff menegaskan bahawa setiap individu diberikan kelebihan yang berbeza. Oleh itu, tidak wajar mempertikaikan bacaan takbir raya hanya kerana suara seseorang itu tidak begitu merdu atau sempurna.
“Jangan sampai kita mengubah struktur video atau menggunakan takbir raya sebagai bahan gurauan politik. Ini tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat yang mengamalkan ajaran Islam,” ujarnya.
Tegasnya, semua pihak tanpa mengira fahaman politik perlu menampilkan akhlak yang terpuji agar Islam terus dipandang tinggi dan dihormati di mata masyarakat.
“Sebagai umat Islam, kita perlu berhati-hati dalam menyebarkan sebarang bahan di media sosial. Bertaqwalah, kerana Allah tidak melihat kelucuan atau populariti sesuatu bahan, tetapi keikhlasan dan taqwa kita yang akan menentukan amalan kita di akhirat,” kata Dr Izhar Ariff.
Terdahulu, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menyunting audionya takbir raya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kedengaran perlahan (slow motion) dan dijadikan bahan gurauan.
Malaysia Bangkit juga menghubungi agamawan lain, termasuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali Dr Maza. Beliau menyatakan bahawa isu ini merupakan perkara yang tidak matang dan hanya ditimbulkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim pula enggan memberi sebarang komen mengenai isu ini kerana dibimbangi akan disalah tafsir oleh sesetengah pihak, sekali gus boleh mencetuskan polemik yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Baca juga: