Jangan leka, Monsun Timur Laut musim aedes membiak

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Sebanyak 1,346 kes demam denggi dan satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berdasarkan rekod Minggu Epidemiologi ke-44 tahun ini.

Jelasnya, rekod Minggu Epidemiologi ke-44 menunjukkan penurunan berbanding 1,521 kes dan dua kematian pada minggu sebelumnya.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, walaupun terdapat penurunan kes denggi ketika ini, masyarakat tidak boleh leka.

“Ini kerana Jabata Meterologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan makluman mengenai Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada awal November 2024 hingga Mac 2025.

“Semasa MTL, negara dijangka mengalami peningkatan hujan yang berpotensi meningkatkan banyak kawasan air bertakung, sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes.

“Oleh itu, penting bagi masyarakat untuk sentiasa melakukan langkah pencegahan seperti membersihkan kawasan sekitar agar tiada bekas atau kawasan air bertakung,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut menasihati masyarakat untuk melakukan aktiviti Cari dan Musnah sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu.

Sementara itu, secara kumulatif jumlah kes demam denggi sehingga kini adalah sebanyak 112,250 kes dengan 102 kematian berbanding 100,936 kes dan 78 kematian untuk tempoh yang sama tahun lalu.

27 lokaliti aktif hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-44 berbanding 38 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Antaranya, 14 lokaliti di Selangor, empat di Negeri Sembilan, empat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dua di Perak, satu di Sabah, satu di Pulau Pinang dan satu di Kelantan.

Anda Mungkin Berminat