Jangan Normalisasi ‘Bukti Tular’ Dalam Politik – MP DAP

PETALING JAYA: Rakyat tidak seharusnya menganggap klip atau video tular sebagai bukti sah dalam isu politik, kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Kenyataan itu dibuat susulan penyebaran sebuah video yang memaparkan seorang wanita dengan wajah dikaburkan serta suara lelaki tidak dikenali mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetahui rancangan seorang ahli perniagaan untuk merakam ahli politik Sabah.

“Video yang disunting dan dikaburkan sebegini bukan bukti.

“Menggunakan klip seperti ini untuk menyerang pemimpin adalah tidak bertanggungjawab dan merosakkan kredibiliti politik,” katanya dipetik Malaysiakini.

Lim berkata, sesiapa yang membuat dakwaan perlu menyokongnya dengan bukti sahih serta tampil secara terbuka.

Beliau menyifatkan tindakan menyorok di sebalik anonimiti dan pengaburan hanya menunjukkan ketidakjujuran pihak berkenaan.

Ahli Parlimen itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak terperangkap dalam ‘gimik politik murahan’ yang boleh menyesatkan sambil menegaskan Perdana Menteri hanya wajar dinilai berdasarkan fakta yang boleh disahkan.

Video berkenaan dimuat naik di laman Facebook Pejuang Tun Mahathir dan mencetuskan permintaan penjelasan daripada Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

Ia dikaitkan dengan dakwaan ahli perniagaan Albert Tei mengenai pembayaran lebih RM600,000 kepada bekas pembantu politik Anwar, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bagi mempengaruhi ahli politik Sabah.

Tei mendakwa beliau memiliki lebih 300 halaman dokumen termasuk tangkapan skrin WhatsApp untuk menyokong dakwaannya.

Namun, Lim menegaskan bukti sedemikian tidak seharusnya dijadikan sandaran utama dalam menilai pemimpin.

Sejak November lalu, Tei telah mengeluarkan beberapa video dan dokumen membabitkan ahli politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Lim sekali lagi mengingatkan bahawa normalisasi ‘bukti tular’ boleh menjejaskan keadilan, ketelusan dan etika politik negara.

Anda Mungkin Berminat