Jangan panik, nilai rasional usaha Kerajaan tangani krisis tenaga – Mahfuz

Oleh: Aliyaa Azmi

ALOR SETAR: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menyeru rakyat menilai secara rasional langkah kerajaan menurunkan had subsidi BUDI95 kepada 200 liter sebulan, sebagai usaha melindungi majoriti pengguna daripada kesan krisis tenaga global yang semakin meruncing.

Beliau berkata keputusan mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter dan penyelarasan subsidi berdasarkan penggunaan sebenar rakyat menunjukkan kerajaan mengambil pendekatan bersasar dan berhemah.

“Rakyat wajar menilai langkah ini secara rasional sebagai usaha melindungi majoriti, mengurangkan pembaziran, dan memastikan kestabilan negara dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, kerajaan juga memberi perhatian kepada golongan yang bergantung kepada bahan api untuk pekerjaan harian.

Pemandu e-hailing dan pekerja gig terus diberikan had penggunaan sehingga 800 liter sebulan, manakala Sabah dan Sarawak menikmati diesel subsidi RM2.15 seliter dengan kawalan lebih ketat bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan.

“Langkah ini adalah bersasar dan bertujuan membantu golongan yang benar-benar memerlukan, tanpa membebankan rakyat secara langsung.

“Pendekatan kerajaan bukan sekadar untuk melegakan sementara, tetapi dirancang untuk melindungi rakyat daripada risiko lebih besar sekiranya krisis global berpanjangan” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat melihat keputusan ini dalam konteks lebih luas iaitu sebagai langkah proaktif kerajaan untuk menjaga kesejahteraan rakyat, menjamin bekalan, dan mengekalkan kestabilan ekonomi negara.

“Kerajaan bertindak awal dan berhemah demi melindungi rakyat daripada impak langsung krisis tenaga global,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat