‘Jangan Politikkan Isu Kampung Sungai Baru’ – Syed Badli

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampong Baru, Syed Badli Shah Syed Osman, menegaskan bahawa isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru tidak seharusnya dijadikan modal politik oleh mana-mana pihak.

Beliau mengecam tindakan segelintir individu yang didakwa menghasut kehadiran pihak luar untuk melakukan provokasi sehingga mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman.

“Saya mengecam tindakan tidak beretika itu kerana majoriti yang hadir bukan penduduk, sebaliknya orang luar yang dimomokkan dengan dakwaan kononnya kerajaan bertindak zalim terhadap penduduk,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Syed Badli, yang juga Ketua Cabang PKR Titiwangsa menjelaskan bahawa proses pembangunan semula kawasan tersebut telah mendapat persetujuan majoriti penduduk.

Menurutnya, sebanyak 304 premis telah bersetuju untuk mengosongkan unit masing-masing secara sukarela dan menerima pampasan yang setimpal.

Beliau berkata, hanya 24 lot masih tertangguh, menunggu pelaksanaan Writ Milikan Kosong kali kedua seperti diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

“Tindakan pihak berwajib yang mendapat kebenaran mahkamah tidak sepatutnya dihalang, apatah lagi dengan cara provokasi yang mencetuskan ketegangan,” katanya.

Beliau turut menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang mencetuskan kekecohan.

“Jangan politikkan isu Sungai Baru. Ia soal pembangunan yang memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk serta Kuala Lumpur secara keseluruhannya,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat