KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan kepentingan memelihara kampung-kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan agar tidak terpinggir dalam arus pembangunan pesat.
Menurutnya, kawasan kampung tradisi semakin sukar ditemui berbanding pembangunan komersial yang lebih mudah diwujudkan.
Hannah berkata rekod perkhidmatannya sebagai Ahli Parlimen Segambut membuktikan pendirian konsistennya dalam mempertahankan kepentingan kampung tradisi Melayu, termasuk Kampung Sungai Penchala.
“Mengenai komitmen saya dalam menjaga kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan, jangan risau. Rekod perkhidmatan saya boleh dirujuk.
“Saya Ahli Parlimen kawasan Kampung Sungai Penchala dan telah menegaskan betapa pentingnya kampung tradisi Melayu dipelihara,” katanya.
Hannah bagaimanapun menegaskan bahawa sebarang usaha pemeliharaan perlu dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.
Sehubungan itu, Hannah memaklumkan akan mendapatkan taklimat lanjut daripada agensi berkaitan bagi memastikan tindakan yang diambil selari dengan prosedur dan peraturan ditetapkan.
“Saya memberi jaminan bahawa isu berkenaan akan diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat” ujarnya.
Baca juga:








