Oleh: Hanim Nadia
JOHOR BAHRU: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Fuziah Salleh, memberi peringatan tegas kepada anggota-anggota parti agar mengekalkan kesepaduan dan menolak sebarang agenda peribadi yang boleh merosakkan perjuangan bersama.
Dalam ucapannya di Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR malam ini, beliau mengingatkan bahawa tindakan segelintir pihak yang ‘menebuk lubang kapal’ boleh mengancam kestabilan parti secara keseluruhan.
“Ini parti kita, kita berada dalam kapal yang akan membawa kita ke destinasi. Kalau dalam kita membawa agenda peribadi, kita tebuk kapal ini, maka semua akan tenggelam.
“Jangan sesekali tebuk lubang yang buat kita semua karam. Jaga wadah yang kita bina dengan air mata, keringat dan kesusahan, dipukul, disembur asid, masuk penjara, masuk lokap. Bukan mudah nak bina keyakinan,” katanya.
Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua AMK, Adam Adli dan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.
Fuziah berkata, proses pemilihan kali ini tidak seharusnya mencetuskan perpecahan, biarpun ada perbezaan pendapat.
“Dulu kita parti nyamuk, orang tak yakin kita boleh ‘survive’. Tapi hari ini, kita adalah kerajaan.
“Presiden kita adalah Perdana Menteri. Jadi jaga baik-baik amanah ini. Jangan biar sesiapa pun tebuk lubang dalam kapal kita,” tegasnya.
Walaupun tidak menyebut nama, kenyataan Fuziah dilihat sebagai respons terhadap kritikan terbuka Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung proses pemilihan dan kempen dalam PKR.