Jangan tergesa-gesa, ‘tabayyun’ sebelum bertindak, kata Menteri Agama

PETALING JAYA: Pentingnya untuk mengamalkan sikap ‘tabayyun’ atau menyelidik terlebih dahulu sebelum bertindak melakukan apa-apa perkara demi menjaga keharmonian masyarakat di negara ini, kata Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden baru-baru ini di mana seorang individu bukan Islam telah diperlakukan secara fizikal kerana makan pada bulan Ramadan.

Mohd Na’im yang juga Menteri Hal Ehwal Agama mengecam keras tindakan tersebut kerana bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau menegaskan bahawa Islam mengajar umatnya untuk bersabar, menghormati hak individu dan menjaga keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum.

“Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi juga untuk mengawal emosi serta membina hubungan harmoni sesama manusia,” katanya.

Mohd Na’im turut mengingatkan umat Islam untuk tidak bertindak secara tergesa-gesa tanpa selidik sehingga membawa kepada kesilapan dan kekesalan.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar perbezaan diselesaikan dengan kebijaksanaan dan melalui saluran yang betul untuk membentuk masyarakat yang saling menghormati.

“Marilah kita bersama membina masyarakat yang harmoni, berakhlak mulia dan penuh dengan nilai kasih sayang selaras dengan ajaran Islam yang membawa rahmat kepada sekalian alam,” ujarnya.

Terdahulu, tular satu video di platform X yang memaparkan seorang mangsa lelaki cina telah ditampar berkali-kali oleh seorang lelaki kerana dipercayai makan di bulan puasa.

Walaupun mangsa menerima permohonan maaf, beliau menegaskan bahawa kejadian itu tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan lanjut.

Anda Mungkin Berminat