‘Jangan terlalu cepat menghukum’

Tindakan seorang selebriti yang secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan mengkritik fizikal pelakon wanita telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat sehingga ada yang menyifatkan dirinya dikatakan mengelami masalah gangguan jiwa.

Malah, penampilan dan perubahan personaliti artis terbabit yang dilihat secara mendadak turut mengundang pelbagai tanda tanya dalam kalangan masyarakat terutama kumpulan netizen.

Tindakan artis itu secara tidak langsung mengundang kritikan dan kecaman masyarakat sehingga ada antaranya mereka yang segera menghukum dengan mengatakan perubahan sifat secara mendadak itu disebabkan penyakit mental, bipolar.

Gangguan bipolar adalah penyakit mental yang berkait rapat dengan perubahan emosi, mood dan tingkah laku seseorang.

Mengulas isu ini, Pengasas dan Presiden Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar, memohon agar masyarakat berhenti daripada cepat menghukum seseorang individu yang bertindak luar normal.

“Tindakan bertindak sebelum berfikir (impulsivity) sememangnya adalah salah satu simptom hypermania (gangguan suasana perasaan) namun, banyak lagi simptom lain.

“Apabila seseorang itu dalam keadaan yang di luar normal iaitu mania atau hypermania, kita akan cenderung untuk merasakan grandiosity (merasa diri lebih hebat), dan mereka yang berdepan dengan orang sebegini berperanan penting untuk menyediakan ruang untuk individu itu bercerita.

“Jika mereka ada tempat untuk meluah, perkara ini tidak akan diceritakan melalui media sosial milik mereka, sebab itu rakan terdekat dan ahli keluarga berperanan untuk membendung situasi ini berlaku,”ujarnya ketika ditemubual Malaysia Bangkit.

Oleh sebab itu, dinasihatkan supaya mereka yang melihat tindakan individu yang sebegini untuk tidak menghukum mereka tanpa mengetahui situasi yang dihadapi oleh mereka.

“Kadangkala kita berasa diri kita lebih bagus dari Tuhan, Oleh itu kita terlalu cepat menghukum tanpa rasa empati dan berkasih sayang sesama manusia,” tambah Anita lagi.

Untuk mereka yang sedang berjuang dan perlukan bantuan sokongan, sila hubungi talian 24 jam MIASA iaitu 1-800-18-0066 atau boleh ke laman web MIASA Malaysia di miasa.org.my.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat