Jangan Terlanjur Kata, Menang Kalah Kita Perlu Bersatu – Anwar

TAWAU : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak keterlaluan dalam menghadapi perbezaan pendapat khususnya dalam kalangan ahli parti dan penyokong.

Beliau menegaskan bahawa perjuangan sebenar adalah mempertahankan dasar dan matlamat perjuangan, bukan menyerang sesama sendiri kerana perbezaan pandangan atau keputusan.

“Jadi saya ingin tegaskan nasihat bahawa apapun, saya telah tekan supaya jangan kita keterlaluan.

“Anak-anak ini kadang-kadang lupa, yang kita nak pertahankan ini ialah dasar perjuangan. Yang kita nak pilih ini ialah parti yang boleh diamanahkan untuk meneruskan agenda perjuangan,” katanya.

Memetik laporan Sinar Harian, tambah Anwar, sebarang salah faham atau ketegangan dalam organisasi adalah perkara biasa dan tidak sepatutnya menjadi punca kepada permusuhan yang berpanjangan.

“Jangan kita tanam bibit-bibit permusuhan. Ada sedikit ketegangan, salah faham, marah itu biasa. Ini seperti mana hubungan dalam keluarga dan rakan-rakan setia, jadi bagi saya setakat itu,” ujarnya.

Kenyataan ini hadir di tengah-tengah persaingan dalam PKR bagi jawatan Timbalan Presiden parti antara anak beliau, Nurul Izzah Anwar dan penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Persaingan ini dijangka mencetuskan perbahasan hangat dalam kalangan akar umbi dan pemerhati politik, memandangkan kedua-dua tokoh tersebut mempunyai pengaruh tersendiri serta rekod panjang dalam perjuangan reformasi parti.

Anwar menyeru agar semua pihak kekal bersatu dan tidak terlanjur dalam kata-kata yang boleh meretakkan perpaduan, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi pertemuan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah di sini, pada Ahad.

Anda Mungkin Berminat