PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan anak muda Sabah supaya berpaut pada fakta dan tidak terpengaruh dengan naratif songsang pihak tertentu yang hanya giat berpolitik namun gagal menyelesaikan masalah rakyat ketika berkuasa.
Beliau berkata kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki kerosakan pentadbiran lalu, termasuk memperuntukkan RM17 bilion khusus untuk Sabah tahun ini bagi menangani isu asas yang membelenggu rakyat sejak sekian lama.
Menurutnya, peruntukan besar itu bertujuan menyelesaikan masalah bekalan air, elektrik, jalan rosak serta liputan internet lemah yang sering menjadi rungutan masyarakat di negeri tersebut.
“Justeru, anak-anak Sabah perlu berpaut pada fakta agar tidak dipengaruhi naratif songsang oleh mereka yang hanya tahu berpolitik, yang gagal menyelesaikan masalah selama mereka berkuasa.
“Namun kini cuba tampil sebagai wira rakyat. Kita tidak bermain politik murahan; kita memperbaiki kerosakan yang mereka tinggalkan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.
Terdahulu, Perdana Menteri memulakan lawatannya ke Sabah dengan menghadiri program Temu Anwar: Harapan Urang Muda Sabah di Penampang.
Mengulas mengenai isu Pemberian Khas Sabah berasaskan 40 peratus hasil, Anwar menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak membuat rayuan terhadap hak Sabah, sebaliknya rundingan pelaksanaan dengan Kerajaan Negeri akan bermula Isnin depan.
Beliau menjelaskan bahawa rayuan yang difailkan kerajaan hanya melibatkan dakwaan berat dalam Alasan Penghakiman terhadap semua kerajaan Persekutuan dan negeri sejak 1974, termasuk pemimpin Sabah terdahulu yang juga telah menabur jasa.
Anwar menegaskan komitmen kerajaan MADANI untuk terus menghormati dan menunaikan hak negeri itu.
“Dengan perpaduan semua kaum dan semua negeri, kita bukan sahaja mempertahankan hak Sabah, tetapi turut mengangkat martabat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Baca juga:








